Gelombang Haba Landa Semenanjung, Padang Terap Catat Tahap 2

PETALING JAYA: Cuaca panas yang melanda negara semakin membimbangkan apabila Padang Terap di Kedah kini mencatatkan Tahap 2 Gelombang Haba dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius berlarutan sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Dalam kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pagi ini, sebanyak 14 kawasan lain di Semenanjung Malaysia turut berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga).

Kawasan tersebut merangkumi seluruh Perlis, beberapa daerah di Kedah termasuk Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu, selain Timur Laut Pulau Pinang, Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Perak, Jerantut di Pahang serta Rembau di Negeri Sembilan.

Tahap berjaga-jaga ditakrifkan apabila suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Keadaan itu memberi amaran awal kepada penduduk agar lebih berhati-hati terhadap risiko kesihatan terutama bagi kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik.

MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar pada waktu tengah hari, memastikan pengambilan air mencukupi serta sentiasa peka terhadap tanda-tanda awal dehidrasi.

Maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian boleh diperoleh melalui portal rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my.

Anda Mungkin Berminat