JERAM: Seorang lelaki maut selepas tersepit dalam sebuah lori yang terlibat dalam kemalangan di Persimpangan Jalan Suara, Kampung Tambak Jawa, Jeram, pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.18 pagi sebelum bergegas ke lokasi sejauh 13 kilometer.
Pasukan tiba pada pukul 7.32 pagi dengan sebuah jentera FRT bersama empat anggota.
Komander Operasi, PBK I, Nurul Azman Muhammadan berkata, setibanya di lokasi pasukan mendapati seorang mangsa lelaki berbangsa Melayu tersepit di bahagian lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa dikenali sebagai Taqiuddin Jamil, 39 tahun.
“Pasukan bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Operasi berjaya dilaksanakan dan seterusnya diserahkan kepada BBP Kuala Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Insiden tersebut turut menarik perhatian orang awam di kawasan sekitar.
Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kemalangan.








