PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan rasmi baginda pada Isnin.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar menyatakan bahawa sambutan tersebut jatuh pada 23 Mac 2026, bersamaan 3 Syawal 1447 Hijrah.
“Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi KDYMM Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Perdana Menteri turut mendoakan agar Seri Paduka Baginda serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah Allah SWT, dikurniakan kesihatan, kesejahteraan serta terus berdaulat memayungi negara.
“Semoga Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
“Allah Peliharakan Sultan” katanya.








