Alvin Runggah Calon Pengganti Nanta Di Parlimen Kapit

PETALING JAYA: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memberi bayangan jelas mengenai kesinambungan kepimpinan Parlimen Kapit apabila menamakan Datuk Alvin Runggah Jimbun sebagai individu yang diyakini mampu mengambil alih tanggungjawab itu pada masa hadapan.

Menurut Nanta, langkah itu penting bagi memastikan agenda pembangunan Kapit tidak terhenti, sebaliknya diteruskan secara terancang dengan sokongan masyarakat dan semangat kerjasama pasukan.

“Sekiranya tiba masanya saya tidak lagi bertanding sebagai calon Parlimen Kapit, Datuk Alvin Runggah Jimbun adalah individu yang akan mengambil alih tanggungjawab tersebut,” katanya memetik laporan Sarawak First.

Nanta berkata, Alvin bukanlah figura baharu dalam kepimpinan Kapit.

Beliau telah lama berkhidmat termasuk sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas II, dan dikenali luas hingga ke peringkat pentadbiran negeri.

Sokongan penuh masyarakat, katanya, amat diperlukan agar kesinambungan pembangunan Kapit dapat diteruskan dengan lebih cemerlang.

Mengambil peribahasa Iban ‘batu tungku nemu besengki’, Nanta mengingatkan bahawa perselisihan faham adalah lumrah dalam kehidupan bermasyarakat.

Namun, nilai perpaduan, musyawarah dan saling menghormati mesti terus dipelihara demi masa depan Kapit yang lebih baik.

Beliau menekankan bahawa golongan berpengalaman perlu berperanan sebagai pembimbing, manakala generasi muda pula diberi ruang untuk tampil memikul amanah kepimpinan.

“Setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan tersendiri dalam membina kekuatan bersama,” katanya.

Nanta turut menyorot kejayaan wakil Kapit dalam Majlis Kerja Tertinggi sayap Pesaka PBB, yang meraih antara undi tertinggi, sebagai bukti kukuhnya kesatuan ahli.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa perjuangan mempertahankan hak Sarawak termasuk sokongan terhadap PETROS perlu diteruskan kerana ia bakal menjadi sumber kewangan penting untuk kemajuan negeri.

Beliau berkata, dasar kerajaan negeri yang semakin membuka ruang pendidikan tinggi kepada generasi muda adalah peluang besar yang harus dimanfaatkan.

Anda Mungkin Berminat