LUMUT: Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) ditahan Maritim Negeri Perak selepas disyaki melanggar syarat sah lesen dalam operasi khas Op KHAS TANJUNG 2 / Op KHAS PAGAR LAUT 1/2026 di perairan negeri ini, petang Ahad.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan dilakukan kira-kira pukul 2.18 petang, 8.7 batu nautika barat daya Pulau Buloh.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari daratan terhampir, selain gagal mengemukakan surat kebenaran menggunakan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua lima orang kru termasuk tekong merupakan warganegara Myanmar dan juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” jelas beliau.
Turut dirampas hasil laut campur dianggarkan seberat lebih kurang 400 kilogram.
Vesel bersama kru diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut.
Vesel tiba di jeti pada pukul 7.15 malam hari sama.
Kepten Maritim Shukri menegaskan pihaknya akan terus memperketatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal khususnya pada musim perayaan.
“Kami memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang termasuk menangkap ikan di kawasan larangan serta penggunaan kru warga asing tanpa kebenaran.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kehadiran aset Maritim Malaysia di laut adalah untuk menjamin keselamatan perairan, melindungi sumber perikanan negara serta memastikan komuniti maritim dapat menjalankan aktiviti secara sah dan selamat sepanjang musim perayaan.








