Individu ucap terima kasih jasa tak terhingga Wan Azizah saat pegang Timbalan Menteri

Oleh: Tyah Helmi

TULAR di media sosial sebuah kisah menyentuh hati apabila seorang individu berkongsi pengalaman berharga berhubung pertolongan yang tidak disangka-sangka oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, ketika beliau berada dalam keadaan yang sangat terdesak.

Menerusi satu perkongsian pengguna dikenali sebagai wander.weeda, dia mengimbau kembali kisah seorang kakitangan yang pernah berhadapan dengan kesulitan hidup.

Ketika itu, individu tersebut baru sahaja mengalami penceraian dan terpaksa menanggung beban lebih berat apabila ibunya mengidap sakit tenat.

“Pada ketika itu, dia perlu membawa ibunya dari Sabah ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan, namun kekangan kewangan menyebabkan dia tidak mampu membeli tiket penerbangan,” tulisnya di Threads baru-baru ini.

Dalam keadaan terdesak dan tidak tahu di mana lagi untuk mendapatkan bantuan, individu tersebut memutuskan untuk menulis surat rasmi kepada Timbalan Menteri pada waktu itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah, yang terkenal dengan kepeduliannya terhadap kebajikan ibu tunggal.

Surat itu turut disertakan dengan dokumen penting seperti surat doktor, rekod kesihatan ibu, serta harga tiket penerbangan dari Sabah ke Kuala Lumpur.

Beberapa hari selepas menghantar surat tersebut, individu ini menerima panggilan telefon daripada pembantu peribadi Dr. Wan Azizah yang bertanyakan maklumat tentang ibu yang sakit serta memerlukan pemindahan segera ke HKL.

“Alhamdulillah, hanya dalam tempoh 24 jam, ibu tersebut berjaya dipindahkan dari Sabah ke KL dan mendapat rawatan pembedahan dan berjaya. Sehingga kini, ibunya masih hidup dan sihat,” tambahnya.

Sebagai tanda penghargaan, pengguna tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada isteri Perdana Menteri itu atas keprihatinannya, yang telah memberikan pertolongan tanpa mengira kedudukan atau latar belakang rakyat yang memerlukan bantuan.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah kerana sentiasa cakna dan mengambil peduli nasib rakyat, terutama mereka yang benar-benar memerlukan bantuan. Semoga ini menjadi pengajaran bagi kita semua untuk lebih empati terhadap nasib sesama manusia,” ujarnya.

Pada masa sama, dia juga mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan empati dalam menyampaikan permohonan atau surat rasmi, agar perkara yang benar-benar memerlukan perhatian tidak terlepas pandang kerana surat-surat yang tidak relevan.

“Asbab pertolongan tu mak dia selamat sampai harini alhamdulillah.

“Jadi kepada yang nak hantar surat layang, Cash On Delivery (COD) yang apa-apa tanpa kepentingan kepada Perdana Menteri itu tolong lah ada empati sedikit, kerana ada lagi surat rakyat lain yang betul-betul perlu pertolongan PM terlepas pandang sebabkan korang,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat