Malaysia Tegas Peranan Proaktif Dalam Krisis Asia Barat

PETALING JAYA: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa memberi tumpuan kepada perkembangan konflik di Timur Tengah yang telah berlarutan selama dua minggu.

Mesyuarat menyambut baik perkembangan terbaru apabila semua pihak terbabit bersetuju menghentikan serangan selama lima hari.

“Ruang ini harus digunakan untuk mengadakan rundingan secara serius dan ikhlas,” menurut kenyataan rasmi MKN.

Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum bahawa gencatan sementara itu telah membawa kepada penyusutan harga minyak antarabangsa.

Namun, kerajaan menegaskan Malaysia perlu terus bersiap sedia menghadapi kemungkinan konflik berpanjangan yang boleh memberi kesan besar kepada ekonomi global.

Sidang MKN Khas itu akan disusuli oleh Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Khas pada Rabu.

Dalam usaha mencari penyelesaian, Perdana Menteri bersama Menteri Luar Negeri dan ketua-ketua agensi keselamatan sedang berhubung rapat dengan rakan sejawat antarabangsa.

“Sebagai contoh, pada hari ini, Perdana Menteri telah mengadakan perbualan telefon dengan pemimpin-pemimpin New Zealand, Jepun, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu,” jelas kenyataan itu.

Malaysia menekankan bahawa pendirian konsisten, berkecuali dan sikap berterus-terang menjadikan negara ini dihormati di peringkat antarabangsa.

Sidang MKN turut membincangkan isu keselamatan domestik termasuk aktiviti agensi perisikan, pencegahan penyeludupan bahan api serta keadaan pasukan pengaman Malaysia (MALBATT) di Lubnan.

“Kerajaan Malaysia sentiasa mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan bahawa keselamatan negara sentiasa terpelihara dan kebajikan rakyat sentiasa terbela sewaktu keadaan mencabar ini,” tambah kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat