Kerajaan Pantau Tekanan Ekonomi Global, Laksana Langkah Proaktif – PM Anwar

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah intervensi awal secara proaktif bagi memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara dalam menghadapi tekanan global semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 3/2026 yang dipengerusikannya hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan meneliti perkembangan geopolitik semasa termasuk konflik di Asia Barat yang memberi implikasi kepada ekonomi dan keselamatan negara.

“Walaupun masih dalam suasana Aidilfitri, kesejahteraan rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan turut mempergiat usaha memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara dengan mempelbagaikan sumber serta meneroka laluan alternatif.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa situasi semasa akan terus dipantau rapi dengan maklumat disampaikan secara telus kepada rakyat.

“Dalam mendepani cabaran ini, ketenangan, disiplin dan semangat kebersamaan amat penting bagi memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat