Individu tular bakar mercun sambil tunggang motosikal ditahan Polis

SEGAMAT: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an selepas disyaki terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya sambil membawa mercun yang dibakar, dalam kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Nantha Muniandy berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 21 Mac 2026 sekitar jam 3 pagi di Kilometer 185 Jalan Johor Bahru–Seremban.

Ketika kejadian, suspek dipercayai berada di Johor Bahru sebelum rakaman video berkenaan tular di media sosial.

“Menurut hasil semakan mendapati suspek merupakan penduduk tempatan daerah Segamat dan mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan juga didapati negatif” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 286 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987.

“Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan, hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan,” katanya lagi.

Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat