BN Sambut Baik MIC Kekal Dalam Gabungan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC untuk terus kekal bersama gabungan itu, satu langkah yang disifatkan sebagai tegas, jelas dan berpandangan jauh.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, keputusan tersebut bukan sekadar mencerminkan pendirian politik semasa tetapi berakar daripada sejarah panjang kerjasama sejak era Perikatan (1955–1973), yang kemudian diperkukuh melalui BN sejak 1974.

“Keputusan ini mencerminkan akar sejarah dan semangat perjuangan yang telah lama terbina.

“BN telah melalui pelbagai cabaran termasuk isu perkauman, tekanan politik dan perubahan landskap negara, namun terus bertahan berasaskan kepercayaan, kesetiaan dan tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pendirian MIC menghantar mesej jelas menolak politik perpecahan, sebaliknya menekankan kepentingan prinsip kebersamaan dalam landskap politik semasa.

“Rakyat memerlukan platform yang stabil dan berpengalaman.

“BN telah membuktikan kemampuannya mentadbir negara secara inklusif dan pragmatik,” tambah Zambry.

Sebelum ini, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, memaklumkan bahawa parti itu akan kekal dalam BN buat masa ini, namun tidak menolak kemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN) pada masa hadapan.

Zambry berkata, kekuatan BN sebagai gabungan pelbagai kaum menjadi faktor penting dalam mengekalkan keharmonian sosial.

Beliau menjelaskan proses penstrukturan semula dan pengukuhan organisasi sedang dijalankan bagi memastikan BN lebih responsif terhadap kehendak rakyat.

“BN bukan sekadar gabungan parti tetapi model kerjasama antara kaum yang telah diuji oleh masa.

“Selagi semangat kesatuan dipertahankan dengan ikhlas, sebarang cubaan melemahkan gabungan ini dapat ditangani dengan bijaksana,” katanya.

Anda Mungkin Berminat