Anwar Ke Jakarta Bincang Isu Geopolitik, Krisis Asia Barat Esok

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual mengadakan lawatan khas ke Jakarta, Indonesia pada 27 Mac ini atas jemputan Presiden republik itu, Prabowo Subianto.

Menurut Kementerian Luar Negeri, lawatan tersebut bertujuan membincangkan perkembangan geopolitik semasa yang semakin meruncing khususnya konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada kestabilan serantau serta ekonomi global.

“Perkembangan terbaru ini menuntut perbincangan yang menyeluruh, rapi dan bersepadu antara kedua-dua negara dalam menyelaras pendirian serta memperkukuh kerjasama strategik,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pemimpin dijangka mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan selain memastikan kelangsungan laluan perdagangan dan rantaian bekalan global.

“Kedua-dua pemimpin dijangka akan mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan serta memastikan kelangsungan laluan perdagangan dan rantaian bekalan global yang kritikal kepada kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain isu Asia Barat, perbincangan turut dijangka menekankan kepentingan memperkukuh peranan ASEAN sebagai blok serantau yang bersatu dalam memelihara keamanan, kestabilan serta daya tahan ekonomi.

Anda Mungkin Berminat