Subsidi diesel bukan keistimewaan, Salleh perjelas jurang harga borneo dan semenanjung

KUALA LUMPUR: Jurang harga diesel antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak tidak wajar disalah tafsir sebagai ketidakadilan, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks perkongsian Malaysia yang unik.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata isu tersebut sering diperdebatkan di media sosial tanpa memahami latar belakang sebenar sehingga mencetuskan persepsi negatif.

Menurut beliau, Malaysia yang dibentuk pada 1963 adalah satu perkongsian, dengan Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan tersendiri yang diiktiraf di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, perbezaan kos di Sabah dan Sarawak adalah realiti yang tidak dapat dielakkan, susulan faktor logistik yang lebih kompleks melibatkan pengangkutan jarak jauh melalui darat dan laut, terutama di kawasan luar bandar.

“Keadaan geografi yang luas, taburan penduduk yang berselerak serta kekangan infrastruktur turut meningkatkan kos pengedaran, sekali gus memberi kesan lebih cepat kepada rakyat apabila berlaku kenaikan harga bahan api,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Beliau yang juga bendahari UMNO Sabah menegaskan Sabah dan Sarawak memainkan peranan besar sebagai penyumbang sumber asli negara, yang perlu diambil kira dalam pembentukan dasar.

Sehubungan itu, Salleh berkata subsidi diesel tidak seharusnya dianggap sebagai keistimewaan, sebaliknya sebagai mekanisme imbangan bagi menampung perbezaan struktur antara wilayah.

Beliau turut menekankan bahawa isu utama adalah persepsi, di mana perbezaan dasar mudah dimanipulasi sekiranya tidak dijelaskan dengan baik.

“Keadilan bukan bermaksud semua pihak menerima layanan sama, tetapi dasar yang mengambil kira realiti, sejarah dan peranan setiap wilayah dalam Persekutuan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat