Di sebalik cabaran, subsidi minyak jadi ‘nyawa’ usahawan

DALAM ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik di Asia Barat yang menekan harga minyak dunia, rakyat Malaysia meluahkan rasa syukur apabila Kerajaan Madani mengekalkan subsidi petrol bagi meringankan beban kos sara hidup.

Pandangan itu dikongsikan oleh pengasas agensi pemasaran kreatif, Richerdker yang menyifatkan ianya tidak boleh dipandang ringan dalam situasi semasa.

Menurutnya, peningkatan harga minyak global memberi kesan langsung kepada banyak negara, termasuk negara jiran seperti Filipina, Thailand, Kemboja dan Laos, selain Australia yang turut berdepan tekanan krisis bahan api.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi melibatkan kehidupan sebenar rakyat, keluarga dan peniaga kecil yang terpaksa menanggung kos meningkat secara mendadak,” katanya menerusi perkongsian di laman Thread pada Jumaat.

Kata beliau, bahawa harga petrol RON95 tanpa subsidi mencecah RM3.87 seliter, namun rakyat masih menikmati harga bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter susulan keputusan kerajaan untuk mengekalkannya.

Walaupun kuota subsidi diselaraskan daripada 300 liter kepada 200 liter bermula April, langkah itu dilihat masih memberi kelegaan kepada majoriti pengguna.

Beliau turut berpandangan bahawa kestabilan yang dinikmati ketika ini adalah hasil usaha berterusan pelbagai pihak sejak sekian lama, termasuk kepimpinan negara, pembuat dasar dan penjawat awam yang memastikan sistem sokongan ekonomi kekal kukuh.

“Generasi demi generasi pemimpin membina hubungan diplomatik secara senyap di sebalik tabir.
Pembuat dasar tekun mengira dan meneliti angka hingga lewat malam.

“Penjawat awam pula bertungkus-lumus memastikan sistem terus berjalan tanpa dikenali. Mereka mungkin tidak pernah menjadi tajuk berita, namun merekalah yang mencipta perbezaan,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan keunikan masyarakat Malaysia yang mampu hidup dalam kepelbagaian kaum dan latar belakang sebagai antara kekuatan yang menyumbang kepada kestabilan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat