KUALA LUMPUR: Lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di sekitar Menara Berkembar Petronas dan Jalan Ampang dalam masa terdekat bagi membanteras kegiatan jurugambar tidak berlesen atau “ulat foto”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan KLCC Property Holdings Berhad serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi menambah pemasangan CCTV di kawasan tumpuan pelancong itu.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti individu yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.
“CCTV di bawah pengurusan KLCC dan kita akan lihat bagaimana boleh menambah pemasangan di kawasan luar untuk mengesan kegiatan ini,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden melibatkan 18 jurugambar tidak berlesen yang disyaki menyerang seorang lelaki selepas berlaku pertelingkahan dengan pelancong asing di kawasan berkenaan, Ahad lalu.

Dalam pada itu, Hannah turut menggesa pihak polis dan penguat kuasa DBKL meningkatkan rondaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Kita tidak mahu pelancong atau rakyat tempatan dibuli kerana ia boleh menjejaskan imej negara. Pergaduhan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan tindakan tegas perlu diambil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam, memaklumkan seramai 18 individu berusia antara 17 hingga 45 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berasingan, Hannah berkata DBKL telah membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) meminta wang daripada sebuah pusat urut di Wangsa Maju.
Beliau menegaskan ahli MPPWP tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan, sebaliknya hanya berperanan sebagai penghubung aduan antara penduduk dan DBKL.
Isu itu timbul selepas tular rakaman CCTV yang menunjukkan dua individu mendakwa sebagai ahli MPPWP meminta wang daripada premis berkenaan kononnya bagi mengelakkan tindakan penutupan.
Baca juga:








