Gelombang Haba: KKM Nasihat Hadkan Aktiviti Luar, Kekal Terhidrat

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia menasihati orang ramai supaya mengehadkan masa di luar bangunan serta mengurangkan aktiviti fizikal luar bagi melindungi diri daripada risiko kesihatan sepanjang musim gelombang haba.

Dalam kenyataan pada Sabtu, KKM turut menggariskan beberapa langkah pencegahan termasuk memastikan tubuh kekal terhidrat dengan meminum air kosong secukupnya tanpa mengira tahap aktiviti fizikal.

Selain itu, orang ramai diingatkan agar tidak berada dalam kenderaan yang diparkir serta tidak meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan bagi mengelakkan risiko kesihatan serius.

KKM juga mengesyorkan penggunaan kipas atau penyaman udara untuk menyejukkan badan ketika cuaca panas.

“Orang ramai digalakkan memakai pakaian ringan, longgar dan berwarna cerah selain menggunakan topi atau payung bagi melindungi diri daripada pendedahan terus kepada cahaya matahari,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, semua panduan tersebut turut dimuatkan dalam video berdurasi satu minit tiga saat yang dikongsi melalui platform media sosial rasmi kementerian.

KKM menjelaskan, gelombang haba merujuk kepada tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi purata harian, dan di Malaysia ia ditakrifkan apabila suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Sehubungan itu, orang ramai disaran mengikuti arahan pihak berkuasa serta mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.

Setakat jam 5 petang, laman MetMalaysia melaporkan Alor Setar mencatat suhu tertinggi iaitu 36 darjah Celsius, diikuti Kangar (35 darjah Celsius), Ipoh (34 darjah Celsius) dan Senai (32 darjah Celsius).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat