PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan sekuriti air negara terus terpelihara melalui pemerkasaan teknologi dan inovasi berasaskan saintifik.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tumpuan strategik diberikan kepada penyelesaian isu air secara langsung demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Tindakan itu selaras dengan Agenda Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) melalui pelaksanaan projek penyelidikan berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Beliau berkata, usaha menangani masalah banjir yang sering menjejaskan aktiviti sosio-ekonomi kini diperkukuh melalui pendekatan saintifik.
Menurut beliau, PETRA bersama NAHRIM telah menubuhkan Pasukan Forensik Banjir Malaysia (FORBiM) sejak akhir 2025 bagi menyiasat punca sebenar kejadian banjir.
“Sebagai permulaan, pasukan FORBiM Kuala Lumpur sedang menjalankan forensik berasaskan data dan bukti saintifik bagi menyiasat punca sebenar kejadian banjir, menilai keupayaan infrastruktur sedia ada dan seterusnya membolehkan strategi tebatan banjir yang lebih inovatif termasuk aspek pemantauan dan penyelenggaraan yang lebih efisien,” katanya.
Langkah itu turut diperkukuh dengan teknologi simpanan air lebihan melalui takungan dasar sungai, pendekatan berasaskan semula jadi serta pembangunan kolam takungan pelbagai fungsi.
Malah katanya, beberapa produk tempatan sedang dibangunkan bagi mengurangkan impak banjir kepada komuniti, antaranya PETRAN (PETRANAHRIM) Tembok Penahan Banjir Automatik dan PETRAN Dinding Tebatan Banjir Mudah Alih.
Dalam masa sama, PETRA turut memberi perhatian terhadap kebergantungan bekalan air negara kepada sungai yang terdedah kepada pencemaran dan kemarau.
Justeru, usaha giat dijalankan untuk meneroka sumber air alternatif bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan kepada pengguna.
Antara langkah yang diambil termasuk menaiktaraf kolam takungan pelbagai fungsi daripada air permukaan dan air hujan, mendalamkan takungan dasar sungai serta melaksanakan pemetaan sumber air tanah di seluruh negara.
“Penyelidikan giat dilaksanakan bagi Projek PETRAN-SIDS di lembangan Sungai Melaka, Pulau Langkawi, Kedah yang mengambil kira gabungan faktor bekalan air, tebatan banjir dan produk eko-pelancongan,” katanya.







