PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersama Tunas Indonesia Raya (TIDAR) menyatakan sokongan penuh terhadap komitmen Malaysia dan Indonesia dalam mendepani konflik yang semakin meruncing di Asia Barat, sekali gus memperkukuh kesepaduan ASEAN berteraskan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam kenyataan media pada Ahad, AMK berkata, kepimpinan kedua-dua negara telah menunjukkan kesungguhan untuk memainkan peranan konstruktif dan bertanggungjawab dalam menangani krisis yang memberi kesan besar terhadap keselamatan tenaga global serta kestabilan ekonomi.
“Pertemuan baru-baru ini antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menegaskan komitmen bersama untuk memainkan peranan yang konstruktif dan bertanggungjawab dalam mendepani konflik yang semakin meruncing di Asia Barat serta implikasinya terhadap keselamatan tenaga global dan kestabilan ekonomi,” katanya.
AMK turut mengulangi sokongan terhadap seruan kedua-dua pemimpin agar usaha diplomasi dipertingkatkan, nyawa orang awam dilindungi dan krisis dikendalikan sebagai satu blok yang bersatu.
“Kami menekankan keperluan mendesak untuk mempertingkatkan usaha diplomasi pelbagai hala bagi meredakan ketegangan, memelihara nyawa orang awam dan menggerakkan jalan penyelesaian yang berwibawa ke arah kedamaian yang berkekalan,” katanya.
Selain itu, kenyataan tersebut menekankan kepentingan memelihara kelangsungan rantaian bekalan global serta keselamatan laluan perdagangan strategik termasuk Selat Hormuz bagi mengelakkan gangguan terhadap pasaran tenaga dunia.
AMK dan TIDAR juga menegaskan komitmen untuk memperkasakan suara generasi muda yang menolak keganasan serta menjunjung undang-undang antarabangsa sebagai asas kepada penyelesaian yang adil dan berkekalan.
“Malaysia dan Indonesia akan terus kekal teguh memainkan peranan sebagai jambatan dialog dan bukannya medan perpecahan dalam mengemudi landskap geopolitik yang semakin mencabar,” kata kenyataan itu.








