PETRONAS Nafi Laporan Libat Perjanjian Bekalan Minyak Ke Filipina

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menafikan laporan media yang mendakwa syarikat itu terlibat dalam perjanjian bekalan bahan api dengan sebuah unit kerajaan tempatan di Filipina.

Dalam kenyataan media pada Ahad, syarikat minyak dan gas nasional itu menegaskan tidak mengetahui atau terbabit dalam sebarang urusan berkaitan, malah tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian atau komitmen berhubung perkara tersebut.

“Tumpuan segera PETRONAS adalah untuk memastikan bekalan bahan api yang boleh dipercayai dan berterusan tersedia untuk Malaysia,” katanya.

PETRONAS berkata, usaha itu disokong oleh rangkaian bekalan sedia ada serta penyelarasan rapat bersama kerajaan bagi menjamin keperluan tenaga negara sentiasa mencukupi.

Sebelum ini, media Filipina melaporkan kerajaan wilayah Davao Del Norte merancang untuk mengimport 44 juta liter bahan api dari Malaysia.

Langkah itu dikatakan sebagai strategi menjamin bekalan susulan ketegangan di Asia Barat yang semakin meningkat.

Gabenor wilayah berkenaan, Edwin Jubahib, turut mengesahkan rundingan sedang berjalan dengan PETRONAS bagi perjanjian diesel yang bertujuan menstabilkan ketersediaan bahan api di seluruh wilayah.

Edwin berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha memenuhi permintaan yang semakin meningkat, namun butiran penting masih dirahsiakan sementara rundingan diteruskan.

Anda Mungkin Berminat