JP Morgan Puji Anwar, Cekap Urus Krisis Tenaga Global

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beliau disifatkan sebagai antara pemimpin yang cekap mengurus krisis tenaga global.

Pengiktirafan itu disuarakan oleh Ketua JP Morgan bagi Asia merangkap Ketua Bersama Strategi Ekuiti Pasaran Pesat Membangun Global, Rajiv Batra, dalam satu temu bual bersama CNBC Squawk Box Asia, baru-baru ini.

Rajiv berkata, ekonomi Malaysia dan China dilihat antara yang paling mampan di Asia dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global yang semakin meruncing akibat konflik berterusan di Asia Barat.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai beberapa kelebihan tersendiri termasuk kedudukan sebagai pengeksport tenaga bersih, defisit fiskal yang terkawal hasil pelaksanaan dasar kerajaan serta kadar inflasi yang tidak terlalu tinggi.

“Faktor-faktor ini dijangka dapat memberikan sokongan kepada pasaran ekuiti domestik, di samping membantu mengekalkan kestabilan mata wang negara,” katanya.

Dalam masa sama, Rajiv turut menekankan kekuatan China yang kini hanya bergantung kepada import sebanyak lima peratus bagi penjanaan elektrik, manakala sebahagian besar tenaga dijana dalam negara.

China juga mengekalkan rizab strategik yang besar serta berupaya meningkatkan sumber tenaga alternatif termasuk arang batu dan tenaga boleh baharu jika diperlukan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa prospek ekonomi global masih tidak menentu.

“Sekiranya ketegangan geopolitik terus menjejaskan rantaian bekalan minyak dan gas terutama melalui kerosakan infrastruktur dan kelewatan logistik, pertumbuhan global mungkin menghadapi tekanan,” jelasnya.

Sejak mengambil alih pentadbiran, Anwar yang juga Menteri Kewangan dilihat berjaya mengimbangi pengurusan defisit fiskal dan kawalan inflasi.

Langkah itu bukan sahaja melindungi kuasa beli rakyat, malah turut meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Anda Mungkin Berminat