Kerjasama PH–Perpaduan Perkukuh Kekuatan Hadapi PRN

PERMATANG PASIR: Kerjasama erat antara Pakatan Harapan (PH) dan gabungan di bawah payung Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai formula paling berkesan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Menurut beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang, pendekatan itu bukan sahaja relevan di peringkat negeri, malah sesuai diterapkan di peringkat kebangsaan bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

“Kerjasama ini penting bagi mengelakkan perpecahan undi yang berpotensi menyebabkan kehilangan kerusi, sekali gus memberi kelebihan kepada pihak pembangkang.

“Walaupun setiap parti mempunyai pandangan tersendiri, pendirian di Pulau Pinang jelas bahawa kita lebih kuat bersama dalam usaha meraih kepercayaan serta sokongan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Pakatan Harapan Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong; Pengerusi AMANAH Negeri, Dr Zaidi Zakaria; Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir serta wakil-wakil parti Kerajaan Perpaduan negeri.

Mengulas mengenai tahap sokongan rakyat, Kon Yeow berkata, penilaian sebenar hanya dapat ditentukan selepas keputusan rasmi pilihan raya diumumkan.

Namun beliau optimis terhadap penerimaan rakyat berdasarkan rekod pencapaian konsisten kerajaan negeri.

“Dalam konteks ekonomi, Pulau Pinang terus mencatat kemajuan dengan kejayaan menarik pelaburan asing, membuka lebih banyak kilang serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Selain itu, aspek pembangunan sosial dan agama turut diberi perhatian melalui pelaksanaan pelbagai agenda serta penambahan peruntukan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri juga sentiasa komited dalam memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara, walaupun berdepan pelbagai isu yang dimainkan oleh pihak tertentu di media sosial,” tambahnya.

Beliau menekankan bahawa kerjasama politik yang terjalin memberi gambaran jelas kepada rakyat bahawa kerajaan mampu menjaga kesejahteraan dan keharmonian semua lapisan masyarakat.

Anda Mungkin Berminat