Suspek Kemalangan Maut Akibat Mabuk Direman Hingga Khamis

KLANG: Seorang pemandu yang disyaki mabuk dan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam pertembungan di Jalan Raya Barat pada Ahad telah direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, suspek akan ditahan sehingga Khamis bagi membantu siasatan.

“Perintah reman telah dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Dalam kejadian pukul 11.40 pagi itu, seorang penunggang motosikal berusia 30-an maut selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Siasatan awal mendapati sebuah Honda City yang dipandu lelaki berusia 20-an sedang menuju ke bandar Klang dari Jalan Raya Barat dengan kelajuan tinggi.

Pemandu tersebut dipercayai telah memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

Kesan hentaman menyebabkan mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Lim berkata, suspek didapati positif alkohol dan dadah.

Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh.

Kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun, denda sehingga RM100,000, serta hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya 10 tahun.

Anda Mungkin Berminat