BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tampil menjelaskan langkah yang telah diambil susulan isu tular mengenai pembinaan sebuah kuil di kawasan kampusnya.
Dalam kenyataan rasmi pada Isnin, UKM memaklumkan pihak pengurusan telah mengadakan sesi perbincangan bersama Kerajaan Negeri Selangor bagi mencari penyelesaian berhubung penempatan kuil yang didakwa tidak sah di atas sebahagian tanah milik universiti.
“Hasil perbincangan, isu ini diputuskan untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) Negeri Selangor untuk penelitian lanjut,” menurut kenyataan itu.
UKM berkata, pihaknya kini menunggu maklum balas serta tindakan lanjut daripada kerajaan negeri sebelum sebarang keputusan atau langkah seterusnya diambil.
Menurut universiti itu, sebarang tindakan perlu melalui prosedur ditetapkan serta mendapat pertimbangan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan penyelesaian yang menyeluruh dan berhemah.
“Pendekatan yang diambil perlu berhati-hati serta berperingkat tanpa tindakan agresif atau tergesa-gesa,” tambah kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, UKM menegaskan akan terus memantau perkembangan isu berkenaan dan bergantung kepada keputusan pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Universiti itu turut menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh mencetuskan kekeliruan atau ketegangan, sambil menghargai keprihatinan masyarakat terhadap isu tersebut.








