ABIM Desak Sifar Toleransi Terhadap Pemandu Mabuk, Dadah Berulang

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pendekatan sifar toleransi dilaksanakan terhadap pesalah berulang yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Presidennya, Ahmad Fahmi Samsudin berkata, langkah tegas itu amat penting bagi mencegah tragedi berulang serta membentuk disiplin dalam kalangan pemandu.

“Pendekatan sifar toleransi perlu dilaksanakan terhadap pesalah berulang termasuk pertimbangan larangan memandu seumur hidup bagi kes berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, individu yang pernah disabitkan kesalahan wajar dikenakan sekatan lesen jangka panjang berdasarkan tahap risiko masing-masing.

“Langkah ini penting bagi membentuk disiplin serta mewujudkan rasa gerun dalam kalangan pemandu supaya lebih bertanggungjawab di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah tidak boleh lagi dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

“Kesalahan ini bukan lagi kes biasa, sebaliknya perlu dilihat sebagai jenayah serius terhadap nyawa manusia yang memerlukan tindakan tegas dan menyeluruh,” ujarnya.

Katanya, pendekatan lebih tegas dan konsisten itu diharap dapat mengurangkan kemalangan maut serta melindungi keselamatan semua pengguna jalan raya.

Anda Mungkin Berminat