Isu pemandu mabuk: Kerajaan komited laksana Diyat bantu waris

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani menegaskan tiada kompromi terhadap kes pemandu mabuk yang mengorbankan nyawa, selain komited memperkasa keadilan buat mangsa dan waris melalui pendekatan tambahan termasuk konsep diyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dalam satu hantaran di laman Facebook berkata, kementeriannya sedang menggerakkan pelaksanaan hukum bagi memastikan perlindungan keadilan dan hak waris, selain sokongan terhadap pelaksanaan diyat berasaskan Syariah melalui kajian undang-undang dan takaful.

“Hak waris mangsa tidak boleh diabaikan, mekanisme diyat wajar diteliti sebagai pampasan berasaskan Syariah,” katanya.

Dr Zulkiflli turut mengecam sekeras-kerasnya insiden tragik di Klang yang meragut nyawa seorang bapa, Almarhum Amirul Hafiz Omar, 33, akibat pemandu dipercayai mabuk dan positif dadah.

“Tindakan memandu dalam keadaan mabuk bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga membahayakan nyawa orang lain,” tegas beliau.

Beliau berkata kejadian itu amat menyedihkan dan merupakan satu bentuk kecuaian yang tidak boleh dikompromi kerana melibatkan kehilangan nyawa yang tidak ternilai.

Justeru, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap pelaku.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik kenyataan Kementerian Pengangkutan yang sedang merangka pindaan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara.

“Semoga keadilan ditegakkan dan kejadian ini menjadi peringatan kepada semua pengguna jalan raya.

“Moga roh Almarhum Amirul Hafiz Omar ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat