KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan dipersembah taklimat mengenai perkembangan semasa ekonomi dan keselamatan negara di Istana Bukit Tunku.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Baginda, sesi taklimat tersebut memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup serta langkah-langkah kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan.
Baginda turut diberi penerangan mengenai pelbagai inisiatif kerajaan dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
“Pendekatan berhemah dalam perbelanjaan awam adalah penting bagi memastikan sumber negara diurus secara cekap dan berkesan,” menurut hantaran itu pada Selasa.
Selain aspek ekonomi, perbincangan turut merangkumi isu keselamatan negara termasuk keselamatan dalam negeri, kawalan sempadan serta kesiapsiagaan pasukan keselamatan.
Baginda mengambil maklum langkah berjimat kerajaan dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan negara.
“Keprihatinan terhadap perkembangan semasa negara adalah tanggungjawab kita bersama,” menurut kenyataan itu lagi.
Sebelum taklimat berlangsung, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.








