KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini, sambil menekankan bahawa pencapaian akademik bukan sekadar kejayaan peribadi tetapi juga sumbangan penting kepada pembangunan negara.
Menurut beliau, kejayaan pelajar akan membentuk masa depan Malaysia yang berteraskan ilmu, nilai dan keinsanan.
“Terus melangkah dengan tekad dan keyakinan untuk melakar kecemerlangan di peringkat lebih tinggi, seterusnya menyumbang kepada pembinaan negara yang berteraskan ilmu, nilai dan keinsanan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Bagi mereka yang kurang bernasib baik, Anwar menasihati agar tidak berputus asa.
Beliau berkata, perjalanan pendidikan masih panjang dan peluang untuk bangkit sentiasa terbuka.
“Sistem pendidikan negara tersedia untuk menyokong setiap langkah.
“Masa depan tidak ditentukan oleh satu keputusan tetapi oleh kesungguhan untuk terus melangkah dan berjaya,” tambahnya.
Perdana Menteri turut menekankan sokongan kerajaan melalui sistem pendidikan yang inklusif bagi memastikan setiap pelajar tanpa mengira latar belakang mempunyai peluang untuk mencapai potensi penuh mereka.
“Saya menyeru semua pihak agar terus memupuk semangat belajar dan menghargai ilmu, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam membina generasi yang berdaya saing, berilmu dan berakhlak,” katanya.








