KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menolak dakwaan bahawa syarat lesen bagi pengeluaran kenderaan BYD di Malaysia terlalu ketat atau bertujuan melindungi pengeluar tempatan seperti Proton dan Perodua.
Dalam kenyataan rasmi, MITI berkata, BYD pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, telah diberikan lesen sementara pada 29 September 2025 untuk memasang kenderaan tenaga efisien termasuk EV dan ‘plug-in hybrid’ di kilang CKD Tanjung Malim, Perak.
MITI berkata, syarat yang dikenakan adalah sebahagian daripada polisi automotif baharu yang terpakai kepada semua pelaburan tanpa pengecualian.
“Malaysia tetap terbuka kepada pelabur asing termasuk jenama China, asalkan mereka komited kepada pembangunan jangka panjang, ‘transfer’ teknologi dan penciptaan pekerjaan mampan,” menurut kenyataan MITI pada Selasa.
Antara syarat utama ialah hanya 20 peratus daripada kapasiti pengeluaran BYD dibenarkan dijual di dalam negara, bersamaan 10,000 unit setahun, manakala selebihnya mesti dieksport.
“Ini adalah syarat pro-eksport yang bertujuan memastikan pelaburan menyumbang kepada perdagangan Malaysia dan integrasi rantaian bekalan global,” jelas MITI.
Selain itu, BYD bebas mendapatkan komponen dari mana-mana negara, namun pemasangan badan, cat dan trim wajib dilakukan di Malaysia bagi memastikan nilai tambah tempatan.
“Harga minimum kereta BYD CKD dijual pada RM100,000 untuk memastikan pemasangan tempatan menumpukan kepada segmen nilai tinggi tanpa menjejaskan pasaran pemain tempatan,” kata kementerian itu.
MITI menekankan bahawa dasar itu direka bukan sekadar untuk membolehkan pelabur menjual kereta tetapi juga bagi menyumbang kepada pembangunan vendor tempatan, pemindahan teknologi dan penciptaan pekerjaan mampan.
Langkah itu selaras dengan visi Malaysia untuk menjadi hab eksport kenderaan elektrik di rantau ASEAN.








