Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung subsidi RON95 disifatkan sebagai langkah berani dan bertanggungjawab dalam menghadapi tekanan krisis tenaga global yang semakin meruncing.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, di sebalik keputusan tersebut, terdapat pihak pembangkang yang cuba memutar belit fakta dengan menggambarkan seolah-olah rakyat terbeban, sedangkan hakikatnya 90 peratus rakyat tidak terjejas langsung.
“Ini bukan sekadar mengelirukan tetapi satu kejahatan politik dan menghasut rakyat memperlekeh usaha serius kerajaan untuk melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
Mahfuz berkata, keputusan Kerajaan MADANI mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 membuktikan kerajaan masih menggunakan sumber negara secara berhemah demi memastikan rakyat tidak terbeban secara langsung.
Beliau menambah, penyelarasan subsidi kepada 200 liter sebulan adalah langkah rasional berdasarkan data penggunaan sebenar rakyat.
Menurutnya lagi, pembangkang sengaja menutup fakta bahawa sistem subsidi tanpa had sebelum ini membuka ruang kepada ketirisan besar-besaran termasuk penyeludupan yang mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan.
“Persoalan yang perlu dijawab oleh pembangkang adalah mudah, adakah mereka mahu kembali kepada sistem lama yang bocor dan menguntungkan penyeludup?
“Atau mereka sekadar mahu memancing kemarahan rakyat tanpa menawarkan penyelesaian sebenar?” soal beliau.
Mahfuz berkata, Kerajaan MADANI memilih untuk berpijak pada realiti, bukannya menjual janji populis yang akhirnya merugikan negara.
“Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, Malaysia tidak boleh bergantung kepada pendekatan populis yang tidak mampan.
“Apa yang diperlukan adalah disiplin, keberanian dan kejujuran dalam membuat keputusan.
“Langkah ini mungkin tidak sempurna tetapi ia adalah langkah yang betul,” ujarnya.








