KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bekalan beras negara mencukupi sehingga hujung tahun ini, sambil mengingatkan orang ramai supaya tidak panik membeli.
Beliau berkata, tindakan membeli secara berlebihan boleh menjejaskan kestabilan pasaran walaupun bekalan sebenarnya mencukupi.
“Insya-Allah stok beras kita cukup sampai hujung tahun, asalkan kita tak panik membeli atau sorok stok,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri rancangan Bicara Naratif, malam tadi.

Menurutnya, jika pengguna membeli melebihi keperluan biasa, ia boleh mempercepatkan penyusutan stok dan mencetuskan gangguan pasaran.
“Kalau biasa kita beli satu beg 10 kilogram sebulan, jangan tiba-tiba beli sampai empat beg. Kalau semua orang buat macam itu, jangka hayat stok akan cepat habis,” katanya.
Beliau berkata, gangguan pasaran boleh menyebabkan bekalan yang mencukupi menjadi terhad dalam tempoh singkat, sekali gus mendorong kenaikan harga dan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Yang penting, kita beli seperti biasa, jangan panik dan lebih berjimat. Insya-Allah, kalau semua main peranan, bekalan akan kekal terjamin dan keadaan dapat dikawal,” katanya.
Baca juga:








