MCMC Siasat Tiga Individu Sebar Maklumat Palsu Tarif Elektrik

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan kenaikan tarif elektrik di media sosial.

Dalam kenyataan media pada Rabu, MCMC berkata, maklumat palsu itu turut dipercayai menyalahgunakan elemen reka grafik sebuah agensi berita.

“Menurut aduan yang diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua suspek berkenaan peningkatan tarif elektrik adalah bersifat palsu dan boleh menimbulkan persepsi negatif yang boleh mengakibatkan kegelisahan dan panik kepada masyarakat,” katanya.

Hasil semakan mendapati kandungan tersebut telah disunting daripada bahan rasmi Astro AWANI.

Susulan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.

Sehubungan itu, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.

Orang ramai turut diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab menggunakan platform digital dan tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi dengan memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.

Anda Mungkin Berminat