PETALING JAYA: Kerajaan MADANI memberi perhatian serius terhadap fenomena cuaca panas yang melanda beberapa kawasan di Malaysia susulan peralihan monsun bermula 29 Mac 2026 hingga Mei ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah segera diambil dengan mengarahkan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengaktifkan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) serta memastikan tindakan berasaskan maklumat teknikal dan data yang tepat.
“Semua agensi berkaitan perlu menyalurkan maklumat kepada SDCC untuk disusun dan direkodkan secara berpusat termasuk maklumat pemantauan aras empangan, bekalan air mentah, tahap kelembapan tanah di kawasan kritikal, kawasan berisiko tanah runtuh, kawasan banjir dan lain-lain maklumat yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan Kerajaan MADANI bukan sekadar mekanikal tetapi berlandaskan prinsip kemanusiaan.
Menurutnya, setiap intervensi perlu disalurkan kepada golongan yang benar-benar terkesan seperti berpendapatan rendah, warga emas, petani kecil serta komuniti yang bergantung sepenuhnya kepada sumber air tempatan.
JPBN turut digesa bertindak awal dengan mengenal pasti keperluan rakyat, pertanian dan komersial termasuk penghantaran bekalan air kecemasan melalui lori tangki ke kawasan kritikal serta permohonan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi meningkatkan aras air empangan.
Sebagai langkah proaktif, Ahmad Zahid berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyelaras empat siri OPA di Perak, Kedah, Perlis dan Johor pada 6 hingga 9 April 2026.
“Tindakan segera ini adalah sebagai langkah proaktif bagi menangani keadaan kadar takungan air empangan di negeri itu yang semakin menurun akibat cuaca panas.
“NADMA berkerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menyediakan pesawat C130 Hercules serta pasukan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang menyelaras aspek teknikal dan saintifik pembenihan awan,” katanya.
Tambah beliau, NADMA perlu membuat penilaian menyeluruh berdasarkan dapatan JPBN dan SDCC bagi menyediakan pelan mitigasi jangka panjang untuk mengurus bencana masa hadapan.
Kerajaan juga menekankan kepentingan memastikan sektor bekalan makanan, pertanian, kesihatan awam, pendidikan, keusahawanan dan penternakan tidak terjejas akibat fenomena itu.
Ahmad Zahid turut menyeru rakyat Malaysia agar mengamalkan penggunaan air secara berhemah dan sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa.
“Dalam apa jua keadaan, prinsip Kerajaan MADANI jelas bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat adalah keutamaan tertinggi.
“Kerajaan akan terus memastikan tiada rakyat yang terpinggir atau dibiarkan menghadapi situasi ini bersendirian.
“Insya Allah, dengan kerjasama semua pihak, kita akan dapat mengharungi cabaran ini dengan lebih tersusun, berkesan dan penuh keinsafan,” katanya.








