PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh dua minggu kepada James Chai untuk tampil memberi keterangan berhubung siasatan kes pelaburan ARM bernilai RM1.12 bilion.
Menerusi kenyataan media pada Rabu, SPRM memaklumkan pihaknya bersedia menanggung kos penerbangan bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli itu bagi membolehkan beliau pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan.
Menurut SPRM, kegagalan James Chai untuk hadir selepas dua kali lanjutan diberikan boleh menyebabkan tindakan lanjut diambil, termasuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa seperti Interpol atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan serta memastikan kehadirannya.
“Pada 4 Mac 2026, SPRM telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesan beliau.
“Susulan itu, SPRM menerima surat daripada peguamnya bertarikh 9 Mac 2026 yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan atas alasan kos penerbangan dan kekangan kerja.
“SPRM kemudian membalas pada 13 Mac 2026 dengan memberikan lanjutan sehingga 31 Mac 2026, namun beliau sekali lagi tidak menyatakan kesediaan untuk hadir,” kata SPRM.
Tegasnya, semua individu yang dipanggil bagi membantu siasatan wajib memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Tambah suruhanjaya itu, sekiranya James Chai berpendirian tidak melakukan sebarang kesalahan, beliau seharusnya tampil memberi keterangan kepada SPRM, bukannya membuat penjelasan di ruang awam tanpa hadir kepada pihak berkuasa.
“Tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang, dan siasatan akan dijalankan secara profesional, bebas serta berasaskan bukti,” tegasnya.
Setakat ini, seramai 17 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
SPRM turut memaklumkan bahawa dokumen penting termasuk perjanjian dan dokumen sokongan telah diperoleh, manakala lapan lagi saksi dijangka akan dipanggil, termasuk individu yang berada di luar negara.
Baca juga:








