Guna Berus Bulu Babi, Kilang Kopi & Biskut Hilang Sijil Halal

MELAKA: Sebuah kilang memproses kopi dan biskut di negeri ini dilaporkan kehilangan sijil halal selepas didapati menggunakan berus dipercayai diperbuat daripada bulu babi bagi tujuan pembersihan peralatan.

Perkara itu dikesan hasil pemeriksaan oleh Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka pada Januari lalu, yang menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis berkenaan.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, berus terbabit telah disita sebelum dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia di Bandar Enstek, Nilai untuk analisis lanjut.

Menurut beliau, keputusan yang diterima pada Mac mengesahkan berus tersebut mempunyai ciri fizikal bulu babi.

“Kilang itu telah beroperasi lebih 10 tahun dan sebelum ini memiliki sijil halal sah yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan alasan tidak mengetahui tidak boleh dijadikan justifikasi oleh pihak premis.

Katanya, pemegang sijil halal perlu memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap piawaian yang ditetapkan tanpa sebarang kompromi dalam operasi.

“JAIM akan terus mempertingkat pemantauan ke atas premis bersijil halal bagi memastikan keyakinan pengguna terhadap status halal produk kekal terpelihara,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya umat Islam, agar lebih berhati-hati dalam memilih makanan dengan mengutamakan produk yang mempunyai pensijilan halal bagi memastikan ia menepati tuntutan syarak serta standard kebersihan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat