KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) giat bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga domestik, di samping mempercepat usaha meningkatkan pengeluaran minyak mentah.
Naib Presiden Pembangunan Huluannya, Mohd Nazlee Rasol berkata, sebagai syarikat minyak dan gas negara, Petronas terus meletakkan aspek keselamatan bekalan sebagai keutamaan, dengan fokus semasa tertumpu kepada usaha mengenal pasti kaedah lebih pantas untuk meningkatkan output.
Menurut beliau, perbincangan sedang dijalankan bersama penyedia perkhidmatan termasuk Weatherford bagi meneroka teknologi serta inisiatif yang mampu mempertingkatkan pengeluaran minyak dan gas.
“Ketika ini, kira-kira 70 peratus daripada pengeluaran kami ditapis di dalam negara, manakala baki 30 peratus dieksport.
“Justeru, kami perlu menilai semula pendekatan sedia ada sama ada untuk diteruskan atau disesuaikan mengikut keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi panel bertajuk “Accelerating Development for Energy Security: Fast-Tracking Field Strategies in a Volatile World” sempena Offshore Technology Conference Asia pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Nazlee berkata Petronas turut menubuhkan pasukan petugas khas bagi meneliti strategi meningkatkan pengeluaran, sekali gus memastikan bekalan berterusan kepada loji penapisan.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa Malaysia, khususnya di Sarawak, mempunyai bekalan gas yang mencukupi serta portfolio yang kukuh. Namun, perkembangan geopolitik di Asia Barat berpotensi memberi kesan kepada sebahagian portfolio berkenaan.
“Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memperkukuh keterjaminan bekalan supaya Malaysia tidak terkesan dengan sebarang gangguan luaran,” katanya.
Baca juga:








