Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Di sebalik krisis yang melanda, Iran menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Madani serta rakyat Malaysia atas sokongan serta pendirian teguh bersama negara itu dalam menghadapi konflik yang sedang berlangsung.
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik oleh kedutaan Iran di Malaysia, pihaknya menegaskan tidak pernah mahu mencetuskan peperangan mahupun mengancam mana-mana pihak, sebaliknya berpegang kepada prinsip keamanan, kemanusiaan dan perlindungan terhadap nyawa awam.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman X pada Rabu, konflik yang berlaku telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa termasuk 214 kanak-kanak, selain memusnahkan ratusan sekolah serta kemudahan perubatan.
“Iran sebagai sebuah negara yang berteraskan nilai kemanusiaan percaya kepada keamanan dan keselamatan kehidupan, namun realitinya keamanan datang dengan harga yang amat tinggi,” katanya.
Tambahnya, kemusnahan yang berlaku melibatkan infrastruktur awam dan kediaman bukan sekadar pertempuran biasa, sebaliknya disifatkan sebagai serangan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
Pada masa sama, Iran menekankan bahawa mereka tidak memulakan konflik tersebut, namun akan terus mempertahankan prinsip serta hak keadilan.
“Kami berdiri teguh bukan untuk pembalasan, tetapi demi keadilan dan mempertahankan setiap nyawa yang tidak bersalah,” ujarnya.
Sehubungan itu, Iran sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas solidariti yang ditunjukkan, sambil menyatakan harapan agar keadilan dapat ditegakkan dan keamanan sejagat dapat dicapai.
Baca juga:








