BDR kembali, pekerja sambut baik inisiatif Kerajaan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Majoriti pekerja setuju dengan solusi yang diumumkan oleh Kerajaan Madani berhubung pelaksanaan Operasi Bekerja Dari Rumah (BDR).

Berdasarkan tinjauan menerusi platform media sosial mendapati rata-rata rakyat Malaysia menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan operasi itu.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan langkah tersebut sebagai keputusan tepat dalam usaha penjimatan kos, khususnya melibatkan perbelanjaan bahan tenaga api.

Seorang pengguna di laman Thread dikenali sebagai CSR Hani, menyambut baik pelaksanaan itu dan melihatnya sebagai peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga selain mengurangkan kos minyak.

“Ini yang saya tunggu, boleh jimat minyak,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Shahrul.shnetwork, turut menyifatkan keputusan itu sebagai langkah baik yang mampu membantu rakyat mengurangkan perbelanjaan harian.

Pandangan sama turut dikongsi Nurfarahainrosli yang menyifatkan ia sebagai antara langkah penjimatan terbaik setakat ini.

Sementara itu, pengguna Imraniz merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap keperluan rakyat.

Tinjauan itu mencerminkan sokongan positif orang ramai terhadap inisiatif kerajaan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

Terdahulu, pengumuman itu dibuat dalam taklimat ringkas Situasi Ekonomi pada Rabu, yang memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju melaksanakan BDR melibatkan semua kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April 2026.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat