Malaysia tidak boleh lagi solo depani krisis Asia Barat – PKR

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyeru Kerajaan Madani untuk segera membentuk pakatan perantara bersama Afrika Selatan dan Brazil.

Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik menggesa agar kerajaan mengambil langkah-langkah konkrit yang diutarakan oleh pihaknya.

“Ketiga-tiga negara itu mewakili Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin mempunyai persamaan dan kredebiliti dalam komitmen di dalam mendaulatkan undang-undang antarabangsa, tidak berpihak dan mengutamakan penyelesaian pertikaian secara aman,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Menurutnya, antara langkah-langkah sebagai perantara rundingan di lokasi yang neutral, dengan penegasan prinsip berkecuali dan komitmen untuk menamatkan pertumpahan darah serta kembali kepada meja rundingan berteraskan undang-undang antarabangsa.

Selain itu, Maszlee turut mencadangkan mengadakan sesi tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berteraskan sumber peradaban Islam untuk keamanan, melangkaui kitaran kecaman yang biasa dilakukan, bagi mengaktifkan kerangka moral bersama seperti islah dan musyawarah untuk menyelesaikan sekaligus menghentikan konflik berkenaan.

“Menganjurkan dialog selari yang melibatkan pertubuhan masyarakat sivil, pemimpin agama dan tokoh-tokoh intelektual dari Iran, negara-negara Teluk dan seluruh dunia Islam bagi membina semula kepercayaan dan sikap saling menghormati semua pihak yang telah dihancurkan oleh peperangan.
Pakatan ini tidak akan bergantung kepada kekuatan ketenteraan,” ujarnya.

Tegas beliau, peperangan itu mesti dihentikan serta nyawa orang tidak berdosa tidak boleh lagi dibiarkan terus melayang.

“Malaysia perlu tampil ke hadapan sebagai suara pendamai yang komited kepada kedaulatan, keadilan dan martabat semua negara,” katanya.

Sebelum ini, dunia dikejutkan siri perang yang bermula dengan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari 2026 kini telah merebak ke seluruh Asia Barat.

Susulan itu, peperangan yang penuh sengit itu turut menyeret negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke dalam kancah konflik tersebut.

Lebih daripada 1,200 rakyat Iran telah terkorban. Infrastruktur awam di negara-negara Teluk juga telah musnah teruk.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat