HSNZ Catat Tiga Kes Pendermaan Organ, Tisu Sehingga Mac 2026

KUALA TERENGGANU: Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mengumumkan bahawa sebanyak tiga kes pendermaan organ dan tisu telah berjaya disempurnakan setakat Mac 2026.

Pencapaian itu bukan sahaja memberi sinar baharu kepada pesakit yang memerlukan, malah menjadi bukti nyata tentang keikhlasan dan kemuliaan hati keluarga penderma yang sanggup merelakan sebahagian daripada insan tersayang untuk menyelamatkan nyawa orang lain.

Dalam kenyataan rasmi, pihak pengurusan HSNZ merakamkan ucapan takziah dan penghargaan setinggi-tingginya kepada keluarga penderma.

“Keputusan besar ini dianggap sebagai pengorbanan yang amat bermakna kerana ia bukan sekadar memberi peluang hidup kepada pesakit tetapi juga menjadi amal jariah berpanjangan buat penderma serta sumber kekuatan kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya.

Sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, hospital telah merekodkan tiga kes penting.

Pada Januari, dua buah pinggang, sebelah mata (kornea) dan tulang berjaya didermakan.

Februari pula menyaksikan sepasang mata (kornea) diberikan kepada penerima yang memerlukan.

Manakala pada Mac, dua buah pinggang dan hati telah disumbangkan, sekali gus membuka peluang baharu untuk pesakit yang menanti dengan penuh harapan.

HSNZ turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan yang terlibat dalam memastikan setiap proses pendermaan berjalan lancar dan penuh tertib.

Kejayaan itu tidak mungkin tercapai tanpa komitmen dan dedikasi mereka yang bekerja di sebalik tabir.

Pihak hospital berharap agar kesedaran masyarakat Terengganu terhadap pendermaan organ terus meningkat.

Penerimaan yang lebih luas akan membolehkan lebih banyak nyawa diselamatkan, sekali gus menjadikan pendermaan organ sebagai simbol kasih sayang dan solidariti kemanusiaan.

Anda Mungkin Berminat