PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pelajar yang menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Rabu, sambil menekankan bahawa kejayaan masa depan bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.
Dalam satu hantaran di Facebook beliau, Anwar memaklumkan bahawa beliau berpeluang meraikan seramai 40 pelajar dari pelbagai sekolah seluruh Malaysia bersama pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Pejabat Perdana Menteri.
“Saya zahirkan ucapan tahniah atas keputusan yang diperoleh.
“Walau apapun keputusan yang diterima, usaha dan perjalanan jauh anak-anak ini perlukan kesabaran dan tekad bersungguh-sungguh dalam setiap bidang yang akan diceburi kelak,” katanya.
Beliau turut berkongsi pandangan bahawa selain kecemerlangan akademik, kekuatan nilai dan akhlak juga penting dalam membina masa depan yang lebih baik.
“Saya juga kongsi cabaran geopolitik semasa yang dihadapi dunia khususnya isu ekonomi.
“Anak-anak juga diingatkan agar sentiasa mengambil berat dan patuh kepada pesanan baik ibu bapa dan pada yang sama peka dengan perkembangan semasa yang semakin mencabar kelak,” katanya.
Justeru, Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus berusaha menyediakan peluang terbaik kepada generasi muda demi masa depan Malaysia.
“Saya doakan seluruh anak-anak lepasan SPM diberikan kekuatan, kecekalan diri dan kemahuan yang kuat untuk menjadi lebih baik daripada apa yang terima hari ini,” kata beliau.








