Selat Hormuz ditutup, 40 Negara mesyuarat cari jalan pulih bekalan tenaga

WASHINGTON: Puluhan negara kini berusaha mencari jalan untuk memulihkan semula penghantaran tenaga melalui Selat Hormuz susulan ketegangan memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran yang terus menjejaskan pasaran global.

Situasi menjadi semakin genting apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Jumaat mengancam untuk melancarkan serangan lebih agresif terhadap Iran, sekali gus menyebabkan harga minyak kembali meningkat dan memberi tekanan kepada pengguna di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Trump memberi amaran keras kepada Tehran dengan menyatakan sudah tiba masanya untuk Iran mencapai persetujuan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Pada masa sama, beliau turut memuat naik rakaman serangan tentera AS yang menyasarkan sebuah jambatan baharu berhampiran Tehran, menghubungkan bandar itu dengan kawasan pinggir Karaj. Media kerajaan Iran melaporkan lapan individu terbunuh manakala 95 lagi cedera dalam serangan tersebut.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, mengecam tindakan itu dengan menegaskan serangan terhadap infrastruktur awam tidak akan memaksa rakyat Iran untuk tunduk.

Dalam ucapan pada Khamis malam, Trump sekali lagi mengulangi ancaman terhadap loji tenaga awam Iran dan memberi bayangan serangan berterusan dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu dalam kalangan pelabur.

Konflik yang bermula hampir lima minggu lalu hasil serangan udara bersama Amerika Syarikat dan Israel kini semakin merebak, mengganggu kestabilan serantau serta mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global.

Sementara itu, kira-kira 40 negara menyertai mesyuarat maya yang dipengerusikan Britain bagi mencari penyelesaian untuk memulihkan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, yang kini terjejas selepas Iran bertindak menutup laluan penting itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan minyak dunia dan ekonomi global.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat