Malaysia, Turkmenistan Setuju Perluas Pasaran Produk Pertanian Tempatan

PUTRAJAYA: Malaysia dan Turkmenistan bersetuju untuk bekerjasama bagi meneroka lebih banyak peluang pasaran bagi produk pertanian tempatan, sekali gus meningkatkan perdagangan dua hala bagi manfaat bersama.

Keputusan itu dicapai dalam kunjungan hormat Muhammetnyyaz Mashalov ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, hari ini.

“Kerjasama ini akan membuka pasaran baharu bagi produk pertanian tempatan dan meningkatkan peluang eksport Malaysia ke Turkmenistan,” menurut kenyataan kementerian itu pada Jumaat.

Menurut kenyataan, pertemuan julung kali itu memberi peluang membincangkan strategi meningkatkan perdagangan dua hala serta memperkukuh hubungan ekonomi.

“Kami turut menekankan kepentingan pembangunan kapasiti dan R&D dalam sektor pertanian untuk memastikan produk Malaysia kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa,” menurut kenyataan itu lagi.

Tambah kementerian itu, perdagangan pertanian antara Malaysia dan Turkmenistan mencecah RM58.74 juta, termasuk eksport kopi, koko, teh dan rempah-ratus.

“Selain perdagangan, fokus perbincangan juga merangkumi pengurusan sumber air, pemodenan sektor pertanian, serta langkah proaktif menangani perubahan iklim,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Mohamad Sabu turut menjemput Turkmenistan menyertai ‘Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show 2026 ‘dari 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS, Serdang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat