Sumud Flotilla 2.0: Amirudin Ketuai Misi Bantuan Malaysia ke Gaza

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, diamanahkan untuk mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.

Misi itu dijadual berlepas pada 5 April dengan membawa 30 kontena mengandungi kira-kira 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin yang berdepan situasi semakin kritikal di Gaza.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor, misi berkenaan digerakkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Cinta Gaza Malaysia.

Amirudin berkata, beliau diberi amanah untuk mewakili kerajaan Malaysia sebagai wakil rasmi negara dalam mengetuai misi berkenaan.

“Saya telah diamanahkan oleh Perdana Menteri untuk mewakili beliau dan Kerajaan Malaysia sebagai wakil rasmi negara bagi mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, misi itu bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan, malah sebagai tanda solidariti berterusan Malaysia terhadap rakyat Palestin yang berdepan kepungan.

“Saya mohon doa seluruh rakyat Malaysia agar misi ini berjaya, urusan kami dipermudahkan serta semua yang terlibat sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT,” katanya.

Dalam rangka misi itu, delegasi Malaysia dijangka memastikan pelepasan bantuan di Kaherah berjalan lancar, selain menyertai sidang khas di Pintu Sempadan Rafah serta memantau pergerakan delegasi di Barcelona, Sepanyol.

Kerajaan Malaysia turut menegaskan komitmen berterusan dalam memperjuangkan keadilan serta membela nasib rakyat Palestin di Gaza.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat