KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan MADANI Mart Cawangan Indera Mahkota 8, sebuah inisiatif kedai komuniti pertama di negara ini yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan di bawah konsep ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’.
Inisiatif yang diterajui Yayasan MADANI itu merupakan antara langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menangani isu kos sara hidup secara menyeluruh.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut meluangkan masa meninjau operasi premis berkenaan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Dalam pada itu, Fuziah berkata MADANI Mart bukan sekadar pelengkap kepada inisiatif sedia ada, sebaliknya satu usaha berterusan bagi memastikan manfaat harga rahmah dapat dinikmati secara lebih konsisten dan tersusun oleh rakyat.
Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut turut membuka peluang keusahawanan dalam ekosistem peruncitan yang lebih terancang.
Menurutnya, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya satu MADANI Mart diwujudkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan jumlah keseluruhan 640 premis di seluruh negara dalam tempoh dua tahun.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan keterjangkauan barangan asas dapat diperluaskan, termasuk di kawasan luar bandar dan separa bandar.
Tambah beliau, pelaksanaan MADANI Mart diyakini mampu memberi impak positif dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Baca juga:








