PUTRAJAYA: Fasa peralihan monsun dilalui Malaysia sejak 29 Mac lalu hingga Mei depan dijangka membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat, sekali gus membantu meredakan cuaca panas yang melanda negara kebelakangan ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, fenomena cuaca panas ketika ini merupakan kitaran tahunan yang lazim berlaku pada penghujung Monsun Timur Laut hingga Jun, berikutan kekurangan litupan awan khususnya di utara Semenanjung.
Menurutnya, fasa peralihan monsun dijangka meningkatkan kekerapan hujan lebat bersama angin kencang, terutama pada waktu petang hingga awal malam.
Keadaan itu dijangka melibatkan kebanyakan kawasan di sebelah barat dan utara Semenanjung, kawasan pedalaman serta negeri di Malaysia Timur seperti Sarawak dan Sabah.

Beliau berkata, cuaca yang lebih lembap bukan sahaja mampu menurunkan suhu, malah membantu meningkatkan semula paras air empangan di kawasan terjejas.
Berdasarkan pemantauan Jabatan Meteorologi Malaysia, terdapat penurunan ketara jumlah kawasan yang merekodkan suhu melebihi 35 darjah Celsius.
“Ketika ini, hanya lapan kawasan di Semenanjung berada pada Tahap 1 atau Status Berjaga-jaga dengan suhu maksimum antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut,” katanya.
Bagi memastikan bekalan air terus mencukupi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama METMalaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan operasi pembenihan awan dari 6 hingga 9 April, tertumpu di utara Semenanjung dan Johor.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi, manakala kerajaan akan terus memantau situasi bagi memastikan kelestarian sumber air negara terjamin.
Baca juga:








