PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar syarat Pensijilan Halal Malaysia khususnya melibatkan unsur najis mughallazah seperti babi.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada sebuah kilang kopi dan kilang biskut selepas penemuan berus yang mempunyai ciri bulu babi.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, syarikat yang terlibat telah diarahkan untuk menghentikan serta-merta penggunaan logo Halal Malaysia, menarik balik produk terkesan dari pasaran serta melaksanakan proses pembetulan termasuk sertu mengikut hukum syarak.
“Tiada sebarang kompromi atau keistimewaan akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat dan piawaian Pensijilan Halal Malaysia.
“Sebarang ketidakpatuhan khususnya yang melibatkan unsur najis mughallazah seperti babi, merupakan satu pelanggaran serius yang tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan tegas serta-merta,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa pihaknya menghormati bidang kuasa Pihak Berkuasa Agama Negeri dalam pengurusan pensijilan halal dan penguatkuasaan di peringkat negeri.
Dalam kenyataan itu juga, JAKIM berjanji akan terus menggembeleng kerjasama strategik bersama semua pihak berkuasa agama negeri bagi memperkukuh aspek pemantauan dan penguatkuasaan.
Langkah itu diambil untuk memastikan integriti Pensijilan Halal Malaysia sentiasa terpelihara dan masyarakat terjamin dalam memperoleh makanan halal.








