PETALING JAYA: Program agihan minyak masak bersubsidi melalui aplikasi digital eCOSS terus menunjukkan keberkesanan dalam memastikan ketelusan dan ketepatan sasaran subsidi kerajaan.
Sepanjang tahun 2025, sebanyak 326,000 pengguna telah memuat turun dan mendaftar aplikasi ini.
Sehingga Mac 2026, jumlah itu meningkat dengan tambahan 160,000 pengguna baharu, menjadikan keseluruhan 486,000 pengguna.
Lebih membanggakan, sebanyak 8.2 juta transaksi jualan minyak masak paket bersubsidi telah direkodkan di Johor melalui sistem eCOSS.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, kejayaan itu membuktikan penerimaan tinggi rakyat terhadap penggunaan teknologi digital dalam pengurusan subsidi.
“Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan tahap penerimaan yang tinggi, malah memperlihatkan keberkesanan sistem digital dalam memperkukuh pemantauan, meningkatkan ketelusan serta mengekang risiko ketirisan dalam rantaian pengedaran,” katanya.
Beliau berkata, kementerian akan terus komited memperkukuh mekanisme pemantauan serta memperluas penggunaan teknologi digital, selain tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan dalam penyaluran subsidi.
Program itu yang bermula di Johor sejak Mei 2025 kini memasuki fasa keempat dengan penglibatan 69 outlet jualan (POS) dan peruntukan sebanyak 1,030 metrik tan minyak masak bersubsidi.
Ia turut digabungkan dengan Program Jualan Rahmah MADANI, menjadikan agihan lebih sistematik dan menyeluruh.
Dengan capaian pengguna yang semakin meningkat, eCOSS dilihat sebagai tonggak baharu dalam memastikan setiap ringgit subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasar.








