IPOH: Program MADANI Rakyat Negeri Perak menjadi wadah penting untuk kerajaan mendekati masyarakat, mendengar pandangan serta teguran, agar setiap dasar yang digubal benar-benar memenuhi keperluan semasa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan perasmian di Ipoh, beliau berkata, dunia kini berdepan krisis besar akibat konflik di Asia Barat yang semakin parah.
“Gangguan terhadap laluan strategik Selat Hormuz telah melonjakkan kos tenaga dan memberi tekanan langsung kepada ekonomi dunia, termasuk Malaysia,” katanya.
Program MADANI Rakyat turut membawa barangan asas seperti ikan, sayur, ayam, beras dan minyak masak pada harga jauh lebih rendah daripada pasaran sebagai langkah segera meringankan beban rakyat.
Anwar turut memberi gambaran bahawa keadaan di beberapa negara lain termasuk sekitar ASEAN, jauh lebih parah.
“Ada yang sudah melaksanakan catuan minyak, ada yang menutup lebih 400 stesen minyak dan ada rakyat yang terpaksa mengubah seluruh rutin harian kerana kekurangan bekalan.
“Ini realiti yang sedang berlaku ketika ini,” jelas beliau.
Anwar berkata, kerajaan sedang menggerakkan segala ikhtiar untuk menjamin bekalan tenaga dan barangan asas, di samping memastikan peniaga, petani dan nelayan mampu bertahan sepanjang tempoh mencabar ini.
“Justeru, ini bukan masanya untuk terus berpolitik atau menabur sentimen yang mengelirukan.
“Kita tidak ada ruang untuk berpecah tatkala cabaran sedang memuncak.
“Fokus kita semua harus tertumpu kepada usaha memperkukuh ketahanan negara dan mengurus sumber dengan lebih berhemat.
“Dengan tekad yang jelas dan usaha bersama, Insya-Allah Malaysia berupaya untuk berdiri teguh dan terus bertahan menghadapi badai ini,” katanya.








