KPM Salur Bantuan Kepada Keluarga Pelajar IPG Lemas Berkayak

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang terbabit dalam kemalangan ketika mengikuti program luar kampus pada Sabtu.

Menurut kenyataan rasmi, KPM sedang menguruskan bantuan segera kepada keluarga pelajar terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Kementerian turut menyediakan sokongan psikososial selain memberi perhatian kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan keluarga pelajar,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

KPM memaklumkan bahawa kejadian berkenaan kini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pada masa sama, kementerian turut memulakan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penganjuran program luar kampus.

“KPM akan memastikan setiap aspek keselamatan diteliti dan penambahbaikan dilaksanakan sekiranya perlu,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, semua institusi pendidikan di bawah seliaan KPM diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan dalam setiap penganjuran aktiviti luar.

Kementerian menegaskan bahawa aspek keselamatan peserta perlu sentiasa menjadi keutamaan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Terdahulu, dua pelajar sebuah institut pendidikan guru (IPG) ditemukan mati lemas selepas kayak dinaiki dipukul ombak di kawasan Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah.

Kedua-dua mangsa dikenal pasti pelajar lelaki dan perempuan berusia 20-an.

Anda Mungkin Berminat