‘Saya Pilih Pertahan Harga Minyak Demi Rakyat’ – Anwar

JOHOR BAHRU: Kerajaan memilih untuk mengekalkan harga minyak meskipun berdepan tekanan krisis tenaga global, demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Anwar berkata, keputusan itu dibuat walaupun terdapat saranan daripada pihak tertentu supaya harga bahan api diselaraskan mengikut pasaran semasa.

“Saya boleh ikut saranan ekonomi untuk naikkan harga tetapi saya perlu fikir beban rakyat.

“Sebab itu kita kekalkan harga dan bertahan dahulu,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengekalkan harga RON95 serta mengawal penggunaan bahan api bagi mengurangkan tekanan fiskal negara.

Namun, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui langkah tersebut memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan kerajaan dengan perbelanjaan tambahan mencecah berbilion ringgit setiap bulan.

“Setiap bulan kita tanggung perbelanjaan tambahan yang besar, mencecah berbilion ringgit dan ini memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan tetap perlu melakukan penyesuaian ekonomi termasuk menangguhkan projek berskala besar.

Bagaimanapun katanya, projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat akan diteruskan.

“Pendekatan ini mencerminkan prinsip kerajaan untuk mengimbangi keperluan ekonomi negara tanpa mengabaikan kebajikan rakyat dalam menghadapi cabaran semasa,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat