JOHOR: Seorang doktor pediatrik berusia 40 tahun kerugian RM270,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian yang ditawarkan melalui aplikasi tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu melibatkan mangsa lelaki tempatan yang bertugas di sebuah hospital kerajaan.
Menurut beliau, mangsa mula terjerat selepas menerima mesej melalui WhatsApp yang menawarkan pelaburan saham dengan pulangan tinggi.
“Mangsa kemudian dipujuk untuk memuat turun satu aplikasi dikenali sebagai ‘WLS’ sebelum diarahkan membuat pemindahan wang ke beberapa akaun,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Raub berkata, dalam tempoh 21 Oktober hingga 1 Disember 2025, mangsa telah melakukan lapan transaksi berjumlah RM270,000.
Namun, apabila cuba mengeluarkan keuntungan, suspek meminta bayaran tambahan atas alasan caj penutupan sebelum mangsa mula menyedari dirinya ditipu.
“Siasatan awal mendapati akaun yang digunakan mempunyai rekod penipuan dan dipercayai berkaitan sindiket pelaburan dalam talian,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan berunsur keuntungan tinggi serta sentiasa membuat semakan sebelum melakukan sebarang transaksi.








